ADAT PERKHAWINAN MASYARAKAT INDIA
Perkahwinan masyarakat India di Malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu Vaitiikat Tirumanam, Tamil Tirumanam, Eliyat Tirumanam.Perkahwinan masyarakat India biasanya dilaksanakan mengikut golongan etnik iaitu Tamil, Malayalam, Telugu dan sub etnik iaitu Chetti, Mutaliyar, Veelaalar, Teevar dan sebagainya serta status ekonomi, pedanda iaitu Brahmin Gurukkal, Gurukkal, Pandaaram dan sebagainya.
ADAT MERISIK
Peringkat pertama iaitu merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira.
KUNJUNGAN KE RUMAH PENGANTIN
Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.
Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.
IKAT JANJI
Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.
Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
ADAT PARISAM
Adat parisam pula terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali.
Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi.
Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.
Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya , kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.
ADAT MUKUURTAKAAL
Adat mukuurtakaal dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok pisang yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.
UPACARA PERKHAWINAN
Menanam sebatang pokok yang lurus dan
disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan.
Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari
perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya
pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis
bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan
mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit
dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga
aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan
menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.
SELEPAS MAJILIS PERKHAWINAN
Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.
Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.
Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.
NICEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEE :)
ReplyDelete