PERAYAAN MASYARAKAT MELAYU

HARI RAYA AIDILFITRI



Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.


Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun surau.


Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.

Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.

Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras, iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.

Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari raya ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau isteri dan dari yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan silaturrahim.

Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak yang masih muda.

Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.


HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha), Hari Raya Kurban atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.


Maulidur Rasul disambut dan dirayakan dengan berbagai-bagai cara di negara kita. Setiap kerajaan negeri akan mengadakan sambutannya secara besar-besaran.


Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Amalan Sunat Hari Raya Korban/AidilAdha
1. Disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik dan paling bersih.
2. Mengenakan wangi-wangian.
3. Mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian bersih dan ceria dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
Perkataan 'maulid' berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud hari lahir seseorang. Apabila disebut 'Maulidur Rasul', umum memahami ungkapan ini bermaksud hari keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan di Tanah Suci Makkah pada 20 April tahun Masihi 571 bersamaan 12 Rabiulawal Tahun Gajah.

Oleh yang demikian, hari maulid ini dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Negara kita turut memuliakan dan merayakan hari maulid. Hari maulid ini menjadi hari cuti umum di negara kita kerana agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini.

Lazimnya, mengadakan syarahan memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, orang ramai berselawat, perarakan, dan lain-lain. Di kalangan masyarakat pula, mereka mengadakan majlis berselawat dan jamuan. Sambutan ini diadakan di rumah dan masjid. Di sesetengah tempat pula, mereka mengadakan majlis membaca riwayat maulid, iaitu sebuah kitab yang ditulis khas tentang riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W.














Comments

Popular Posts